Saturday, November 27, 2010

JENIS-JENIS PERUBATAN TRADISONAL

            Salah satu jenis ilmu perubatan yang akan disentuh dan diterangkan adalah ilmu perubatan melayu tradisional. Hal ini adalah kerana, ilmu perubatan melayu tradisional telah wujud berkurun lamanya dan ilmu perubatan ini diwarisi secara turun-temurun dari zaman dahulu lagi. Banyak kisah mengenai ilmu perubatan ini wujud dalam masyarakat Melayu antaranya ialah kisah mengenai Tun Hamzah, cucu bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir yang dibunuh oleh Sultan Mahmud Syah dan mengalami luka parah yang akan menyebabkan kematian jika luka itu dalam sebanyak seinci lagi. Kisah ini mampu menjadi bukti bahawa ilmu perubatan ini telah berkembang sejak berkurun lamanya (Harun Mat Piah, 2006).
            Pada masa itu, masyarakat mengelar orang yang mampu mengubati penyakit ini dengan pelbagai gelaran, antaranya ialah tabib, pawang dan bomoh. Ilmu perubatan masyarakat Melayu mengandungi pelbagai pantang-larangnya. Antara pantang-larangnya ialah untuk mengubati sesuatu penyakit, bomoh tersebut memerlukan masa dan tarikh yang sesuai untuk menjalankan upacara penyembuhan berkenaan. Selain daripada itu juga, bomoh berkenaan akan cuba meramal dan menilik jenis-jenis penyakit terlebih dahulu sebelum memulakan upacara penyembuhan. Kadang-kala ilmu perubatan Melayu tradisional ini mempunyai kaitan dengan alam gahaib yang menjadi kepercayaan majoriti bagi seluruh masyarakat Melayu pada masa itu (A. Samad Ahmad, 2005).
            Masyarakat Melayu juga menggunakan ramuan herba sebagai salah satu langkah mengubati penyakit. Masyarakat terdahulu lebih rapat dengan alam semulajadi maka tidak hairanlah jika mereka menggunakan ramuan herba yang asli untuk merawat penyakit. Salah satu herba yang dianggap berkhasiat ialah pokok Tongkat Ali. Herba ini dianggap mempunyai khasiat untuk meningkatkan syawat bagi kaum lelaki. Di samping itu juga, pokok Putar Wali juga dikatakan mampu untuk merawat penyakit kencing manis (Zainatul Syuhaida bt Abdul Rahman, 2003).
            Selain ilmu perubatan Melayu tradisional, terdapat juga ilmu perubatan tradisional yang lain. Antaranya ialah ilmu perubatan tradisional masyarakat Cina. Pelbagai gelaran diberikan kepada doktor perubatan Cina antaranya ialah Fashe, Dai Fu dan Tabib Cina. Perubatan Cina hanya menggunakan pengeras seperti kayu gaharu, wang kertas palsu dan pedang Mao Shan Tien dalam menyembuhkan sesuatu penyakit. Bidang perubatan Cina mempunyai perkaitan dengan konsep Yin dan Yang. Hal ini kerana ketidakseimbangan kedua-dua unsur itu membawa kepada penyakit. Darah dikaitkan dengan Yin dan nafas dikaitkan dengan Yang. Selain itu anggota badan manusia dikaitkan kepada lima unsur iaitu hati dengan kayu, jantung dengan api, perut dengan tanah, paru-paru dengan  logam dan buah pinggang dengan air. Oleh itu dalam menyediakan ubat-ubatan bahan-bahan yang diadunkan mesti sesuai dengan unsur-unsur badan tersebut.
            Ilmu perubatan tradisional Cina memgandungi pelbagai cabang antaranya ialah ilmu perubatan Singse iaitu merupakan ramuan campuran herba tumbuh-tumbuhan dengan khasiat dari haiwan. Ramai masyarakat yang mencuba jenis perubatan ini apabila rawatan secara moden tidak mendatangkan hasil yang seperti yang diingini. Disamping itu juga, masyarakat Cina memgamalkan kaedah rawatan secara Akupuntur bagi merendahkan kandungan kolestrol dalam badan. Sekali gus dapat mengurangkan risiko penyakit jantung. Ahli perubatan Cina juga ada menyatakan bahawa ubat-ubatan Cina mestilah diamalkan secara berterusan dan diseimbangkan dengan pemakanan yang sihat bagi mendapatkan hasil yang berkesan. Hal ini adalah kerana, ubat-ubatan tersebut memakan masa yang agak panjang dan akan bertindak secara perlahan-lahan dan berkekalan (Moh Mei Ing, 1998).






No comments:

Post a Comment